Friday, December 27, 2013

Aktiviti Kelab Budi Penyayang

Laporan Aktiviti yang dilaksanakan oleh Kelab Budi Penyayang pelajar degree tahun 1 semester 1 (2013-2014)

Site scanning
Tarikh = 25/11/2013
Waktu = 2.00 ptg – 5.00 ptg
Tempat = Taski Ilham, Jalan Semarak
Para pelajar mengikuti pembelajaraan di dalam kelas.

Tempat makan para pelajar di taski. 
    
 Pelajar Kelab Budi Penyayang membuat perbincangan aktviti apa yang sesuai dilakukan

Aktiviti Kebajikan di Taski Ilham
Tarikh = 4/12/2013
Tempat = Taski Ilham, Jalan Semarak
Masa = 2.00 ptg – 5.00 ptg

Pelajar Kelab Budi Penyayang mengadakan pertandingan mewarna untuk kanak – kanak di taski.

Hadiah juga disediakan kepada para pemenang.

Menukar alas meja dengan warna yang lebih ceria serta mengganti alas meja yang sudah terkoyak.



Menghias papan kenyataan yang kosong dengan kreatif dan menarik perhatian juga bermanfaat kepada kanak – kanak di taski.


Menghias sudut yang kosong supaya kelihatan lebih menarik dengan membuat mini garden


Aktiviti bersama Pusat Islam UTM
Tarikh = 11/12/2013
Tempat = Masjid UTM KL
Masa = 2.00ptg – 6.00ptg







Para pelajar Kelab Budi Penyayang membantu pusat Islam dengan membersihkan bahan – bahan masakan untuk Karnival Muhibah bagi acara penutup program tersebut.

Sunday, December 1, 2013

Kes Gangguan Seksual

KES GANGGUAN SEKSUAL

Gangguan seksual merupakan perbuatan jenayah yang boleh dibawa ke muka pengadilan. Gangguan seksual bukan sahaja boleh terjadi dengan berlainan jantina malahan ia juga boleh terjadi sesama jantina iaitu lelaki terhadap lelaki dan perempuan terhadap perempuan. Gangguan seksual ialah “sebarang komen lisan, isyarat atau tingkah laku berbentuk seksual yang tidak diingini dan disengajakan atau diulang-ulang”.

Gangguan seksual ini boleh terjadi kepada sesiapa sahaja tidak mengira jantina mahupun peringkat umur. Lazimnya berlaku terhadap perempuan dan kanak kanak perempuan. Gangguan seksual ini boleh berlaku dimana sahaja tetapi selalunya ia berlaku di tempat kerja dan sekolah.

Terdapat beberapa jenis bentuk gangguan seksual iaitu gangguan berbentuk lisan, gangguan berbentuk isyarat/bukan lisan, gangguan berbentuk visual, gangguan berbentuk psikologi dan gangguan berbentuk fizikal.

Gangguan secara lisan ini dinyatakan dalam perlakuan yang menjurus kepada gangguan seksual antaranya ialah melalui kata-kata, komen, gurauan, usikan, bunyi-bunyian dan soalan-soalan yang berbentuk ancaman atau ancaman seksual.

Gangguan secara isyarat atau bukan lisan pula dinyatakan sebagai perlakuan yang berbentuk pandangan atau kerlingan yang membayangkan sesuatu niat atau keinginan, menjilat bibir, memegang atau memakan makanan dengan cara menggoda, isyarat tangan atau bahasa isyarat yang membayangkan perlakuan seks dan tingkah laku mengurat yang berterusan.

Gangguan yang dikategorikan sebagai gangguan visual pula menyatakan perlakuan seperti menunjukkan bahan-bahan lucah, melukis gambar lucah, menulis surat berunsur seksual, mendedahkan bahagian badan yang sulit yang tidak sepatutnya.

 Gangguan secara psikologi pula adalah berbentuk perlakuan mengulangi jemputan sosial yang telah ditolak, memujuk rayu secara berterusan untuk keluar bersama atau bercumbu. Gangguan secara fizikal merupakan bentuk perlakuan seperti sentuhan yang tidak diingini, menepuk, mencubit, mengusap dan menggesel badan, memeluk, mencium dan membuat serangan seksual seperti meraba.

Gangguan seksual adalah pelanggaran hak seseorang ianya bukanlah perkara yang kecil atau remeh dan bukan lawak dan jenaka yang tidak berbahaya. Pelbagai kesan yang bakal timbul terhadap mangsa daripada segi emosi, mental mahupun fizikal.



PUNCA – PUNCA GANGGUAN SEKSUAL

Secara amnya gangguan seksual ini sering berlaku ditempat kerja dan disekolah kerana kebanyakkan kes akan berlaku secara berterusan sehingga mangsa mengalami tekanan emosi. Oleh itu antara punca – punca gangguan seksual ialah :

Punca gangguan seksual di tempat kerja.

Pertambahan bilangan pekerja wanita dalam industri pekerjaan telah mencabar kedudukan dan status pekerja lelaki.

Bolehlah dirumuskan bahawa berlakunya perlakuan gangguan seksual tempat kerja ada kaitanya dengan peluang pekerjaan yang diberikan kepada kaum wanita. Secara tidak langsung, sesetengah pekerja lelaki sanggup melakukan tingkah laku gangguan seksual sebagai cara untuk merendahkan maruah pekerja wanita.

Faktor organisasi

Dalam sesebuah organisasi, faktor organisasi itu sendiri boleh menyebabkan berlakunya gangguan seksual di pejabat. Ini adalah diakibatkan daripada peluang-peluang tertentu yang terhasil daripada pembentukan struktur organisasi, iaitu melalui hierarki dan hubungan autoriti yang khusus yang mana, individu boleh menggunakan kuasa atau statusnya untuk mendapatkan kepuasan seksual daripada orang bawahannya. Ia bukan sahaja dilakukan oleh kaum lelaki ke atas kaum wanita, tetapi keadaan yang sebaliknya juga boleh berlaku.

Kuasa dan pengaruh golongan ini dalam organisasi

Gangguan seksual adalah satu fenomena sosial yang melibatkan kuasa dan pengaruh pihak pengurusan atasan, ketua, penyelia atau supervisor yang bercanggah dengan etika dan moral di tempat kerja. Disebabkan kuasa dan pengaruh golongan ini dalam organisasi, mereka yang menjadi mangsa gangguan seksual terpaksa tunduk kepada kehendak pegawai atasan. Rasa bimbang dan takut kehilangan kerja menyebabkan mangsa terpaksa merahsiakan sahaja gangguan seksual yang dihadapi dan dilakukan oleh ketua atau pihak yang berkuasa dalam organisasi.

Tindakan yang dilakukan oleh individu atas dorongan seks yang bersifat semulajadi.

Gangguan seksual boleh juga berpunca daripada tindakan yang dilakukan oleh individu atas dorongan seks yang bersifat semulajadi. Terdapat perbezaan yang begitu ketara dari segi sifat kejadian lelaki dan perempuan yang mencorakkan perkembangan dorongan seks secara semulajadi. Perkembangan ini juga mempengaruhi biologikal dan tingkah laku seksual yang berbeza di antara lelaki dan wanita. Dari segi biologikal, lelaki mempunyai keadaan fizikal yang tegap dan kuat. Keadaan ini boleh mendorong lelaki menggunakan kekuatan fizikalnya untuk bertindak ganas terhadap wanita, khususnya dalam melakukan bentuk-bentuk gangguan seksual.

Perkembangan wanita, watak, tingkah laku, sifat fizikal dan biologikal serta bentuk seksualiti tubuh badan wanita yang dijadikan begitu menonjol memberi pengaruh seksualiti yang tinggi kepada lelaki

Dari segi perkembangan wanita, watak, tingkah laku, sifat fizikal dan biologikal serta bentuk seksualiti tubuh badan wanita yang dijadikan begitu menonjol memberi pengaruh seksualiti yang tinggi kepada lelaki. Kebanyakan wanita yang peka dengan keindahan, kecantikan, keanggunan dan personaliti kewanitaannya lebih suka menonjolkan pengaruh seksual. Pengaruh seksual wanita dapat dijadikan tarikan untuk memikat dan menarik minat lelaki terhadapnya. Pengaruh seksualiti terhadap kehidupan manusia mencakupi suatu dimensi yang luas meliputi perkembangan tingkah laku, personaliti, kebahagiaan, emosi, moral, kemuliaan, rasa dihargai dan sebagainya. Oleh yang demikian, seksualiti wujud dalam pemikiran manusia, tidak kira sama ada lelaki ataupun wanita yang mendorong ke arah pencapaian keinginan dan matlamat hidup yang baik atau sebaliknya.

Pemikiran seksual

Pemikiran seksual (sexual mind) lelaki mendorong tingkah laku seksual yang tidak sihat, termasuk melakukan gangguan seksual sama ada di tempat kerja ataupun di mana sahaja jika terdapat peluang melakukan gangguan seksual terhadap wanita. Amat sukar untuk menghakis pemikiran seksual dan pelbagai tingkah laku yang mendedahkan wanita kepada gangguan dan ancaman seksual di mana-mana sahaja dalam masyarakat.

Personaliti seseorang individu

Personaliti seseorang individu juga boleh menjadi punca kepada gangguan seksual. Personaliti merupakan satu konsep yang digunakan apabila menggambarkan diri seseorang. Pada umumnya, personaliti bermaksud memperihalkan ciri-ciri yang dimiliki oleh seseorang individu secara khusus seperti cara ia berfikir, bereaksi, beremosi, berpersepsi dan lain-lain yang membolehkannya dibezakan dengan orang lain. Dengan perkataan lain personaliti memperihalkan sifat-sifat fizikal, emosi dan kognitif seseorang individu. Sehubungan dengan itu personaliti pelaku dan mangsa itu sendiri boleh menyebabkan terjadinya gejala gangguan seksual. Sebagai contohnya wanita yang digolongkan sebagai seksi lebih terdedah menjadi mangsa gangguan seksual. Begitu juga pekerja wanita yang mudah menjadi mangsa gangguan seksual ialah yang masih bujang ataupun janda.

Tidak boleh disalahkan kesemuanya kepada keterampilan atau perawakan wanita yang menyebabkan berlakunya gangguan seksual. Kebanyakan aspek tingkah laku manusia mencerminkan personaliti mereka. Apabila seseorang itu bertingkah laku agreasif adalah dikatakan mempunyai personaliti agresif. Oleh yang demikian dapat kita fahami bahawa terdapat hubung kait personaliti dengan perlakuan seseorang yang melakukan tindakan yang berbentuk jenayah. Orang yang mempunyai personaliti bermasalah seperti ketagihan seks, fobia seks, dan seks maniac mempunyai tendensi yang tinggi melakukan gangguan seksual

Punca gangguan seksual disekolah pula ialah

Kurang memahami etika keguruan.

Antara punca tingkah laku negatif yang dilakukan guru bagi kes gangguan seksual (mencabul) pertamanya ialah kurang memahami etika keguruan. Guru yang memahami etika keguruan tidak akan tergamak melakukan perkara sedemikian terhadap anak muridnya sendiri. Ini berbeza pula dengan guru tersebut kerana telah melanggar kod etika guru yang telah digariskan. Ini menunjukkan bahawa guru tersebut tidak mengerti dan memahami apa yang terkandung dalam kod etika guru.

Masalah keluarga

Masalah keluarga juga merupakan salah satupunca berlakunya tingkah laku negatif dikalangan guru ini. Guru yang mengalami masalah keluarga contohnya penceraian dan kurang kasih sayang akan mengalami tekanan dan emosi yang tidak stabil. Hal ini menyebabkan guru tersebut mengambil jalan mudah dengan melakukan gangguan seksual kepada anak muridnya sendiri bagi melepaskan tekanan yang dihadapi oleh mereka. Ini menunjukkan bahawa, masalah rumah tangga seperti penceraian menyebabkan keperluan seksual tidak dapat dipenuhi menyebabkan guru terbabit menjadikan murid sebagai tempat untuk melepaskan tuntutan seksual mereka.

Penggunaan internet, telefon bimbit dan sebagainya

Faktor lain yang menyebabkan masalah ini timbul ialah pengaruh negatif  yang timbul melalui media elektronik seperti penggunaan internet, telefon bimbit dan sebagainya. Mengikut kajian yang dilakukan pengaruh media elektronik lebih banyak dari media massa kerana media elektronik mudah didapati dengan meluas tanpa sekatan. Hal ini kerana, guru boleh memperolehi bahan-bahan lucah dengan mudah dengan hanya melayari internet berbanding medium yang lain. Ini menyebabkan guru tersebut mudah mendapatkan bahan bagi tujuan sedemikian. Pengaruh ini akhirnya mendorong guru tersebut melakukan perkara seumpama ini terhadap anak muridnya. Pengaruh media massa contohnya media cetak membolehkan guru tersebut mendapatkan bahan lucah melalui buku, majalah dan sebagainya dengan mudah seterusnya membuat gangguan seksual kepada anak muridnya.

Kurang kesedaran agama.

Tiada kesedaran agama juga adalah punca kepada tingkah laku negatif yang dilakukan oleh guru tersebut. Didikan agama yang kurang terutama tentang hukum halal dan haram menyebabkan seseorang guru tersebut sanggup melakukan perkara terkutuk itu demi kepuasan mereka sendiri. Kesedaran agama yang kurang iaitu tidak menggunakan ilmu yang dipelajari dengan sebaik mungkin menyebabkan guru tersebut tidak dapat membezakan yang mana betul dan yang mana salah. Guru tersebut juga tidak menjaga pergaulan beliau dengan anak muridnya dimana dia sanggup membuat gangguan seksual keatas anak muridnya sendiri. Di sini jelas menunjukkan perbuatan yang dilakukan oleh guru tersebut bukan mencerminkan beliau sebagai seorang muslim yang tidak mengamalkan ajaran Islam dengan baik. Jika difikir kembali tidak mungkin akan berlaku kes seumpama ini jika guru tersebut mempunyai kesedaran agama yang tinggi.

Pengambilan pil peransang

Punca penyumbang kepada tingkah laku negatif yang dilakukan oleh guru tersebut ialah pengambilan pil peransang. Kebanyakkan kes yang melibatkan gangguan seksual ini sering kali dipengaruhi oleh pengambilan pil peransang seperti Viagra yang tidak terkawal dan dijual di pasaran secara terbuka. Apabila pengambilan pil peransang secara tidak terkawal, keinginan seksual semakin meningkat menyebabkan berlakulah gangguan seksual keatas murid. Kebanyakkan guru lelaki yang tidak berkahwin atau telah bercerai yang menggunakan pil peransang ini akan cuba membuat gangguan seksual terhadap anak muridnya apabila teransang. Dalam situasi ini, guru tersebut hanya ingin memuaskan diri mereka tanpa mengira nasib yang akan menimpa anak murid apabila berkelakuan negatif seperti ini.

Stress yang tinggi.

Punca  yang menyebabkan tingkah laku negatif ini ialah bebanan kerja yang dihadapi menyebabkan guru tersebut mengalami stress yang tinggi. Mengikut Kyriacou (2000), stress guru merujuk kepada pengalaman guru terhadap emosi yang tidak diingini seperti tekanan, kekecewaan, kebimbingan, kemarahan dan kemurungan akibat daripada tugasnya sebagai guru. Bebanan kerja yang terlalu banyak dan tekanan ditempat kerja yang dihadapi oleh guru setiap hari menyebabkan guru itu tidak dapat berfikir panjang seterusnya mencari jalan lain untuk melepaskan tekanan yang dihadapi. Guru terbabit menggangap, gangguan seksual yang dilakukan ini boleh mengurangkan tekanan yang dihadapi namun kesan dari perkara itu lebih teruk dari apa yang dijangkakan.

Selain di sekolah dan tempat kerja. Di tempat lain juga boleh terjadinya gangguan seksual ini contohnya semasa berada di tempat awam seperti sedang menaiki pengangkutan awam, berada di taman rekreasi dan sebagainya. Oleh itu, punca terjadinya gangguan seksual ini sebenarnya lebih kurang dengan punca yang terjadi di sekolah mahupun di tempat kerja. Antaranya ialah kurangnya didikan agama, tidak dapat mengawal perasaan dan nafsu, kurangnya sifat menghormati orang lain dan sebagainya.

PERANAN NGO DALAM MENANGANI GANGGUAN SEKSUAL

Pada tahun 2010, Kementerian Sumber Manusia, telah mengadakan Kod Amalan Mengenai Pencegahan dan Pembasmian Gangguan Seksual di Tempat Kerja. Kod ini telah diadakan sebagai respons pemerintah kepada desakan-desakan yang telah lama dibuat, terutama sekali oleh badan-badan NGO wanita.

Beberapa buah NGO wanita, seperti AWAM, WDC, WAO dan-lain-lain telah ditubuhkan. Mereka meneruskan kempen menentang keganasan serta gangguan seksual terhadap wanita ini. Terdapat juga badan bukan kerajaan yang menyediakan khidmat kauseling kepada mangsa. Peranan kaunseling dalam membantu dan menangani masalah gangguan seksual amat penting dalam masyarakat moden yang mana keadaan hidup dan masalah yang dihadapi begitu rumit dan tidak dapat diselesaikan dengan sendiri. Kaunselor yang profesional, mempunyai latihan dan lesen menjalankan tugas kaunselor mengenai masalah gangguan seksual perlu diwujudkan di setiap industri dan organisasi di seluruh negara. Begitu juga kaunselor Islam yang boleh menguruskan hal-hal gangguan seksual mengikut cara Islam pelu difikirkan dan dirangka dalam menyelesaikan masalah gangguan seksual.

Terdapat beberapa undang – undang terhadap pesalah yang melakukan jenayah ini. Antarnya ialah  undang-undang berhubung dengan ganguan seksual di tempat kerja seperti
·         Akta pekerja 1955 – ia terpakai kepada pekerja di sektor swasta sahaja
·         Akta Perhubungan Perusahaan 1967 – ia terpakai kepada pekerja kerajaan dan badan berkanun dan pekerja disektor swasta.
·         Gangguan Seksual Dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelaluan dan Tatatertib (1993) – Ia berkaitan dengan takrif perlakuan gangguan seksual, tindakan majikan, tindakan pengadu dan tindakan ke atas pelaku gangguan seksual
·         Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 – Selain berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerja, ia juga terpakai bagi mengelakkan pekerja daripada menerima pelbagai ancaman di tempat kerja termasuk gangguan seksual.
·          Kod Amalan Bagi Mencegah dan Membasmi Gangguan Seksual di Tempat Kerja (1999) – Ia mempunyai 34 Perkara.  Ia terpakai untuk menangani masalah gangguan seksual di tempat kerja.  Kod Amalan ini adalah panduan praktikal kepada majikan, pekerja, kesatuan dan pihak-pihak berkaitan dalam melindungi maruah diri pekerja tanpa mengira jantina.  Matlamatnya memastikan gangguan seksual tidak berlaku.


Selain itu juga terdapat beberapa peraturan yang telah ditulis  dan ditetapkan terhadap
pegawai awam didalam buku peraturan pegawai awam mengenainya. Antaranya ialah seseorang pegawai tidak boleh melakukan gangguan seksual terhadap orang lain iaitu seseorang pegawai tidak boleh  membuat cubaan untuk merapati orang lain secara seksual atau meminta layanan seksual daripada orang lain atau melakukan apa-apa perbuatan yang bersifat seksual berhubung dengan orang lain dalam keadaan yang, setelah mengambilkira hal keadaan, akan menyebabkan seseorang yang waras tersinggung, terhina atau terugut. Tindakan yang boleh diambil menurut peraturan 38- Peraturan Pegawai Awam:
i.                    Amaran
ii.                  Denda
iii.                Lucut hak emolument
iv.                Tangguh pergerakan gaji
v.                  Turun gaji
vi.                Turun pangkat atau
vii.              Buang kerja

STATISTIK GANGGUAN SEKSUAL
Statistik gangguan seksual yang berlaku di tempat kerja dari tahun 1999 hingga 2010 yang telah dilaporkan jumlahnya agak sedikit tetapi ia yang dilaporkan
Tahun
Bilangan
1999
29
2000
61
2001
46
2002
21
2003
16
2004
19
2005
12
2006
23
2007
9
2008
19
2009
22
2010
20
Jumlah
297
Sumber : Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Kementerian Sumber Manusia. http://jtksm.mohr.gov.my

PENDAPAT SAYA TERHADAP GANGGUAN SEKSUAL

Pada pendapat saya gangguan seksual ini adalah salah satu perkara yang serius dan harus diberi perhatian. Mangsa yang mengalami gangguan seksual akan mengalami trauma dan gangguan emosi. Gangguan seksual juga boleh menjadi parah sehingga boleh membawa kes rogol. Ia haruslah dipandang serius oleh segenap masyarakat. Walaupun kadar yang dilaporkan tidak mencapai seratus kes setiap tahun tetapi kita haruslah tahu dan sedar bahawa jika ianya berterusan tidak mustahil untuk jumlah ini bertambah. Tambahan pula, kebanyakan mangsa tidak berani melaporkan kejadian kerana mereka mungkin ketakutan dan sudah diancam oleh individu yang melakukan gangguan seksual ini. Oleh itu, hanya segelintir laporan sahaja yang diterima.

Walaubagaimanapun, mangsa haruslah sedar kejadian seperti ini boleh dibendung dan  mangsa haruslah berani untuk membuat laporan ini kerana ia bukan sahaja dapat membela diri sendiri malah dapat mengelakkan orang lain menjadi mangsa gangguan seksual. Pelbagai undang – undang telah dikuatkuasa oleh itu jangan bimbang kerana pesalah akan dibawa kemuka pengadilan.

Selain itu juga, masyarakat haruslah memberikan sokongan terhadap mangsa dan janganlah memulaukan mereka. Daripada gangguan seksual inilah tidak mungkin kejadian rogol mahupun bunuh bakal berlaku. Oleh itu, marilah kita mencegah dan mengambil tahu tentang kejadian kejadian seperti ini.

PENUTUP

Kesimpulannya, gangguan seksual ini adalah masalah sosial yang meruncing didalam masyarakat kita. Tindakan sewajarnya haruslah diambil bagi membendung kejadian ini daripada berleluasa. Kita haruslah berani mempertahankan hak kita dan berani bersuara. 


Reference